DERITA Kemaluan mereka dipotong

Dalam sejarah peradaban manusia, terdapat pelbagai tradisi aneh dan ngeri yang pernah dicatatkan. Salah satu daripadanya ialah kembiri iaitu memotong kemaluan.

Catatan paling awal menunjukkan tradisi kembiri sebenarnya berasal dari kota Lagash, Sumeria pada abad ke-21 sebelum Masihi lagi. Selepas itu, tradisi ini terus berkembang merentasi benua yang berfungsi di dalam pelbagai kebudayaan dan tamadun manusia.

Ketika awal tradisi ini diperkenalkan, ia lebih kepada berbentuk hukuman. Pelaksanaan hukuman ini bertujuan untuk menghukum pesalah yang melakukan perkara sumbang, sekali gus untuk menjaga maruah pihak keluarga wanita yang dirogol. Bagaimanapun, tujuan asal ini berubah dari semasa ke semasa mengikut kepentingannya dalam sesuatu tamadun.

Paling sinonim, peranan orang kasim – gelaran yang diberikan kepada lelaki yang tiada kemaluan, berkait rapat dengan pekerjaan di istana. Kebiasaannya, mereka menjadi orang yang berpengaruh di istana dan mendapat kepercayaan tinggi pemerintah kerana kecacatan fizikal yang disengajakan itu. Dengan kata lain, kecacatan fizikal itu akan menyebabkan mereka tidak berlaku curang terhadap gundik atau permaisuri raja.

Meskipun begitu, pekerjaan domestik yang mereka lakukan tampak rendah, seperti mengemas kamar tidur, memandikan raja, memotong rambutnya serta melakukan kerja-kerja rutin harian. Malah, ada sesetengahnya yang ditugaskan untuk melayan gundik raja. Dengan kata lain, orang kasim seumpama ‘orang gaji’ di istana.

Mereka umumnya berasal daripada keluarga yang berkasta rendah dan memulakan pekerjaan sebagai hamba di istana, sebelum memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Bagaimanapun, lelaki yang melalui proses kembiri dianggap tidak mempunyai nilai dalam peperangan, kaum bangsawan ataupun keluarga mereka sendiri.

Antara kerajaan yang menggunakan khidmat orang kasim di istana ialah pemerintah Akhemenid dari Parsi serta dinasti Firaun di Mesir. Ia kemudian diteruskan sehingga dinasti Lagid yang dikenali sebagai Ptolemeus, tetapi tradisi ini berakhir selepas zaman pemerintahan Cleopatra.

Pada zaman China kuno, tradisi kembiri diperkenalkan semasa pemerintahan Dinasti Sui. Ia bertujuan untuk menjaga kelangsungan serta mengekalkan pewaris sesuatu dinasti itu sendiri. Ketika zaman ini, ramai orang lelaki telah memotong kemaluan mereka sendiri semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan di istana. Sehinggakan, pada akhir Dinasti Ming, terdapat 70,000 orang kasim di istana.

Dengan jumlah seramai itu serta mendapat kepercayaan penuh daripada raja, kekuasaan mereka seolah-olah melebihi perdana menteri. Justeru, kerajaan telah menetapkan satu peraturan yang melarang untuk melakukan kembiri diri sendiri. Jumlah tersebut akhirnya menurun secara mendadak kepada 470 orang pada tahun 1912. Selain China, sistem yang serupa juga didapati wujud di negara Vietnam.

Sejarah juga menunjukkan bahawa amalan ini turut dipraktikkan di benua Eropah semasa kekuasaan empayar Yunani dan Rom. Tetapi fungsi utamanya tidak sama seperti di Asia. Mereka lebih dianggap sebagai perisai raja dan dipercayai sebagai orang yang setia kepada pemerintah. Selain itu, ia juga dilakukan untuk mendapatkan kenyaringan serta fleksibiliti nada suara penyanyi bangsawan supaya kekal sama seperti seorang kanak-kanak.

Amalan ini juga dikatakan turut berlaku semasa zaman kegemilangan kerajaan Byzantine. Tetapi selepas penguasaan empayar Uthmaniah, amalan tersebut serta-merta dihapuskan kerana dianggap sebagai suatu penyeksaan yang melampau.

Dr. Nizam Amil
Menurut Ketua Jabatan Perubatan Forensik, hospital Putrajaya, Dr. Nizam Amil, tradisi kuno ini memerlukan tahap pengorbanan yang paling tinggi bagi seorang lelaki. Ini kerana, seorang lelaki telah menafikan haknya terhadap hubungan kelamin sepanjang hayat apabila kemaluan mereka dipotong. Dengan kata lain, mereka tidak lagi dapat merasai nikmat seks, apatah lagi mempunyai zuriat atau pewaris.

Jelasnya, sebelum wujud teknologi moden, proses kembiri dilakukan melalui satu proses yang sangat berhati-hati. Kemaluan seorang lelaki termasuk buah zakarnya diikat sehingga menyebabkan darah tidak dapat mengalir. Keadaan itu dibiarkan beberapa hari sehingga alat sulit itu rosak. Kemudian, barulah ia dipotong sepenuhnya.

Untuk mengelakkan pendarahan, mereka akan menyapu abu di kawasan tersebut serta menancap bulu angsa pada salur kencing. Bulu angsa tersebut akan dicabut beberapa hari kemudian, dan sekiranya seseorang itu mampu kencing secara normal, proses kembiri dianggap berjaya. Jika tidak, seseorang itu akan menjadi cacat dan akan mati akibat keracunan kencing yang tidak boleh keluar. Bagi wanita pula, proses kembiri adalah dengan cara menutup kemaluan.

Bagaimanapun, menurut Dr. Nizam, ramai yang keliru apabila menganggap orang yang telah di‘kembiri’ tidak lagi mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan seksual. Perkara tersebut tidak selalunya benar kerana seorang lelaki yang tiada kemaluan masih mampu mengalami ereksi dan melakukan hubungan seksual. Bagaimanapun, mereka tidak mampu mengakibatkan kehamilan.

Sehingga kini, amalan tersebut masih lagi di jalankan di beberapa wilayah dunia seperti di India, Bangladesh dan China. Kebanyakan mereka yang mengamalkan tradisi ini memberi alasan bahawa ia adalah tuntutan kerohanian. 

Comments

Popular posts from this blog

Pengawal Rumah Melayu Lama

Laluan rahsia Genting Bidai

Air yang menyembuhkan penyakit